
NANJING, China: Matthijs de Ligt tertampan bola ke gawang sendiri selepas 10 minit memulakan perlawanan bersama Juventus sebelum penjaga gol veteran Gianluigi Buffon mencetus kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti ke atas Inter Milan pada aksi persahabatan di Nanjing, China.
Buffon, 41, muncul wira dalam penentuan penalti selepas kembali bersama juara Serie A itu dari Paris Saint-Germain.
Pengendali baharu Juventus Maurizio Sarri berkata buat masa ini dia masih boleh menerima kesilapan.
“Kami masih boleh memperbaiki persembahan, terutama di bahagian serangan,” kata bekas pengendali Chelsea itu.
Permainan terikat 1-1 selepas 90 minit, dengan Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan untuk Juventus susulan gol sendiri De Ligt.

“Ia tentang mengubah corak pemikiran dan ia bukan mudah untuk dilakukan dalam tempoh yang singkat.”
Pemain remaja Belanda, De Ligt yang menyertai Juventus dari Ajax minggu lalu, masuk sebagai pemain gantian ketika kekalahan 3-2 kepada Tottenham Hotspur di Singapura Ahad lalu.
Sarri menurunkannya dalam kesebelasan utama pada aksi “Derby d’Italia” tetapi pertahanan tengah itu bermula langkah kiri apabila tertampan bola ke gawang sendiri menewaskan Wojciech Szczesny untuk meletakkan Inter di depan. – AFP