LONDON: Pasukan Formula Satu (F1) Red Bull mencipta rekod baharu hentian pit terpantas di Grand Prix (GP) Jerman apabila menukar keempat-empat set tayar jentera pemenang perlumbaan, Max Verstappen dengan kepantasan 1.88 saat (s), menurut masa rasmi yang dicatatkan.
Rakan kongsi logistik F1, DHL menganjurkan anugerah hentian pit terpantas setiap musim menerusi kiraan mata dengan Red Bull ketika ini mengatasi pasukan Williams di carta kedudukan selepas 11 pusingan manakala Ferrari ketiga.
Ini kali kedua mekanik Red Bull memecahkan rekod dengan mereka sebelum ini melakukan 1.91s ketika melakukan hentian pit bagi pelumba Perancis, Pierre Gasly di GP British, dua minggu lalu.
Verstappen melakukan lima hentian pit pada perlumbaan penuh huru hara di Hockenheim manakala Gasly, empat dengan catatan terpantas dilakukan pada pusingan ke-46 daripada keseluruhan 64 pusingan perlumbaan.
Bos Red Bull, Christian Horner mengarahkan ketua mekaniknya, Phil Turner ke podium untuk mengambil trofi pemenang kategori pengeluar.
“Krew hentian pit menakjubkan pada hari ini (Ahad),” kata Horner.
Pasukan Mercedes, yang terkejut dengan salah satu daripada lima hentian pit yang dilakukan juara dunia lima kali, Lewis Hamilton ketika perlumbaan di Jerman tidak berupaya untuk melakukan hentian kurang 2.50s.
Hamilton turut berhenti selama 50 saat selepas jenteranya melanggar penghadang yang menyaksikan mekanik terpaksa membuat penukaran sayap depan selain menukar tayar. – Reuters