Reds terus kempunan

Pemain Napoli, Amin Younes (kiri) menjaringkan gol ketiga ketika aksi bertemu Liverpool dalam aksi persahabatan di Edinburgh, awal pagi tadi

LONDON: Liverpool dipalit kekalahan 0-3 kepada Napoli dalam aksi persahabatan pra-musim di Edinburgh, awal pagi tadi, seminggu sebelum dijadual bertemu Manchester City pada aksi Piala Perisai Komuniti, Ahad ini.

Kekalahan di Murrayfield menyaksikan juara Eropah itu tidak merasai sebarang nikmat kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan terakhir apabila tewas kepada Borussia Dortmund dan Sevilla serta seri menentang Sporting Lisbon.

Lorenzo Insigne, Arkadiusz Milik dan Amin Younes meledak buat skuad Serie A itu dalam perlawanan yang disaksikan 65,000 penonton dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menurunkan kesemua 21 pemain yang disenaraikan.

Insigne meledak gol pembukaan menerusi rembatan lencong pada minit ke-17 dan skuad kendalian Carlo Ancelotti membuktikan penguasaan apabila menggandakan kelebihan sebelum setengah jam perlawanan berlangsung.

Jaringan yang disempurnakan Milik itu berpunca daripada umpanan Insigne.

Liverpool berjaya mencipta jaringan menerusi Georginio Wijnaldum tetapi ia dibatalkan susulan ofsaid.

Reds yang juga naib juara Liga Perdana musim lalu memulakan babak kedua dengan lebih baik tetapi mereka sekali lagi dikejutkan Napoli tujuh minit selepas permainan bersambung.

Insigne sekali lagi terbabit terhadap jaringan berkenaan apabila bijak memecah masuk ke kawasan penalti Liverpool  dan sekali pun cubaannya berjaya dihalang Simon Mignolet, ia disambar Younes.

Klopp membuat 10 pertukaran pada babak kedua, termasuk penampilan sulung pemain berusia 16 tahun, Harvey Elliott yang baharu saja dibeli pada perlawanan berkenaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *