Arsenal terdesak mahu pinjam Umtiti

LONDON: Arsenal dikatakan mengintai peluang untuk meminjam pemain Barcelona, Samuel Umtiti, lapor sebuah akhbar di sini, semalam.

Laporan itu menyebut bahawa pengurus Gunners, Unai Emery terdesak mencari tonggak pertahanan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan dan pemain antarabangsa Perancis itu calon paling berpotensi.

Arsenal terpaksa menukar pelan selepas menarik diri membeli pemain RB Leipzig, Dayot Upamecano selepas tidak sanggup memenuhi tawaran £55 juta (RM286 juta) yang ditawarkan.

Selain gagal mendapatkan Upamecano, Arsenal juga buntu mendapatkan pemain Juventus, Daniele Rugani dan kini Umtiti menjadi satu-satunya pemain yang harus diburu sebelum tarikh turup itu.

Emery perlu mendapatkan pengganti pertahanan tengah dengan segera selepas pemergian penuh kontroversi, Kapten Laurent Koscielny yang meninggalkan Emirates, semalam.

Meskipun Chelsea sedia menawarkan David Luiz pada harga £5 juta (RM21 juta) kepada Arsenal, namun bekas pertahanan Gunners, Martin Keown meminta Emery mengelak membeli pertahanan Brazil itu kerana ia langkah ‘berisiko tinggi’.

Umtiti, 25, menyertai Barcelona ke jelajah pramusim di Amerika Syarikat ketika ini dan membantu Barca mengatasi Napoli 2-1, dalam perlawanan persahabatan di Miami pagi tadi.

Musim lalu, Umtiti bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Nou Camp selain dihantui masalah kecederaan sekali gus tempatnya diambil alih oleh Clement Lenglet.

Dalam pada itu, beberapa akhbar di Perancis memberikan pandangan betapa Umtiti mampu melonjakkan lagi kerjayanya di tempat lain namun khabar angin itu segera dinafikan.

“Saya masih ada kontrak, saya gembira bersama Barcelona,” kata Umtiti.

Umtiti sebelum ini turut dikaitkan pindah Manchester United namun bos di Old Trafford tidak sanggup dengan jumlah besar yang ditawarkan.

Arsenal juga buntu mendapatkan pemain Celtic, Kieran Tierney, tetapi sedang cuba berunding buat kali ketiga mendapatkan pemain itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *