PARIS: Presiden kelab bola sepak Lyon, Jean-Michel Aulas meminta Paris Saint-Germain (PSG) supaya melakukan apa saja usaha bagi mengekalkan bintang Brazil, Neymar di Parc des Princes.
Neymar, 27, dikaitkan bakal meninggalkan juara Ligue 1 itu dengan menyertai semula Barcelona selepas dijual dengan yuran perpindahan rekod dunia sebanyak €222 juta (RMRM1.036 bilion) dua tahun lalu.
Meskipun Neymar akan membolehkan skuad bimbingan Thomas Tuchel kekal kuat, Aulas sebaliknya menegaskan PSG perlu mengekalkannya di Paris.
“Dari satu sudut Ia agak memalukan jika mengambil kira langkah liga pernah menggunakan Neymar ketika membida hak siaran TV,” katanya kepada akhbar Le Parisien, semalam.
“Dia sebelum ini bersama Barca. Dengan jumlah bayaran yang besar, dia kemudian tiba di Paris. Saya fikir PSG perlu kekalkan dia.
NEYMAR. – Foto AFP
“Tapi saya hanya Presiden OL (Lyon), saya tidak layak membuat kata putus.”
Lyon sudah menyaksikan banyak perubahan pada cuti musim panas ini dengan menyaksikan Sylvinho menggantikan Bruno Genesio manakala Juninho dilantik sebangai Pengarah Sukan yang baru.
Lyon menamatkan Ligue 1 di tangga ketiga musim lalu itu turut melepaskan Ferland Mendy ke Real Madrid, Tanguy Ndombele (Tottenham) dan kapten Nabil Fekir (Real Betis).
Dalam pada itu, Aulas berharap Lyon mampu terus menandingi PSG musim ini, meskipun sedar ia perlukan lebih banyak masa merapatkan jurang yang ada.
“Pada peringkat pertengahan, ya (Lyon mampu menandingi PSG). Kami akan memainkan peranan sebagai pencabar. Kami akan terus melabur. Matlamatnya ialah merapatkan jurang kekuatan dengan PSG,” katanya.
“Tapi bagi tahun pertama ia agak sukar. Kamu perlu bersabar. Ia adalah projek yang mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sebelum ia menjadi kenyataan.
“Tarikh sasaran ialah 2022, dengan jurang bajet antara dua kelab mestilah munasabah.”
Lyon akan memulakan kempen Ligue 1 dengan berkunjung ke laman Monaco lewat pagi esok. – Agensi