Conte harap urusan beli Lukaku berjaya

LONDON: Pengendali Inter Milan, Antonio Conte berharap dapat menyelesaikan perjanjian dengan Manchester United bagi mendapatkan penyerang Belgium, Romelu Lukaku dalam beberapa hari akan datang.

Kelab Itali itu memburu Lukaku ketika jendela perpindahan musim panas ini dan dilaporkan sanggup dengan bidaan terbaharu United kira-kira £65 juta (RM329 juta).

Penyerang Belgium itu tidak disenaraikan oleh United ketika kempen pramusim dan Conte berharap Inter Milan boleh membawa pemain berusia 26 tahun itu ke San Siro.

“Kami terus berusaha untuk mendapatkannya dengan cara terbaik,” katanya selepas pasukannya seri 1-1 berdepan Tottenham pada aksi persahabatan pramusim awal pagi tadi.

“Saya faham ada beberapa perkara perlu dipenuhi tapi ketika ini saya amat berharap ia boleh dimuktamadkan.

“Pada masa sama saya bekerja dengan sekumpulan pemain hebat yang memberikan saya kepuasan.”

Sesuatu yang boleh menghalang keinginan Inter memburu bekas penyerang Everton itu adalah laporan perjanjian pertukaran antara United dan Juventus yang mungkin menyaksikan penyerang Argentina, Paulo Dybala berpindah ke Old Trafford sebagai pertukaran dengan Lukaku.

“Secara jujur saya tak tahu. Saya membaca mengenai perjanjian pertukaran ini dalam akhbar,” kata Conte. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *