Crystal Palace ikat Cahill dua musim

LONDON: Crystal Palace mengikat bekas kapten Chelsea, Gary Cahill dengan kontrak dua tahun menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris yang bermula Sabtu ini.

Cahill meninggalkan Stamford Bridge musim lalu selepas dilaporkan tidak sehaluan dengan bos The Blues ketika itu, Maurizio Sarri.

Sepanjang tujuh setengah tahun bersama di Stamford Bridge, Cahill banyak meraih penghormatan dalam bola sepak Inggeris.

Dia juga beraksi penuh 120 minit ketika final Liga Juara-Juara 2012 yang menyaksikan Chelesea menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan penalti dan kemudian membantu kemenangan kali kedua Liga Europa musim lalu.

“Saya dahagakan lebih banyak kejayaan dalam karier selagi mampu,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

“Saya rasa cergas setiap kali diberi peluang bermain, saya rasa saya sudah berikan 110 peratus kudrat ini dan meletakkan semua perkara lain di luar, jadi saya harap ia memadai untuk saya diterima oleh pengurus dan kelab ini serta penyokongnya.

Dalam pada itu, Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson hilang khidmat pertahanan kanan, Aaron Wan-Bissaka yang pindah ke Manchester United dengan yuran £50 juta (RM270 juta) selain spekulasi yang mengaitkan sayapnya, Wilfried Zaha yang turut akan meninggalkan mereka.

Cahill adalah pemain ketiga terbabit dalam pertukaran kelab pada jendela perpindahan di Selhurst Park disusuli Jordan Ayew dan Stephen Henderson.

“Saya gembira Gary menyertai kami. Dia adalah pemain bola sepak yang mengangumkan dan banyak pengalaman antarabangsa dan Liga Perdana Inggeris.

“Pengalaman bekerja dengannya ketika sebagai Pengurus England banyak membantu, saya tahu dia akan menjadi aset paling bernilai dan saya berasa gembira dapat bekerja dengannya sekali lagi,” kata Hodgson.

Palace akan memulakan cabaran liga Sabtu ini dengan menanti kunjungan Everton yang sedang giat memancing Zaha. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *