KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren bermula langkah kanan dalam saingan Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Switzerland selepas mengesahkan tempat ke pusingan kedua, sebentar tadi.
Pemenang pingat gangsa edisi tahun lalu itu cemerlang apabila menewaskan pemain Thailand, Khosit Phetpradab 21-19, 21-13 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Basel.
Bagaimanapun, Daren yang menghuni ranking ke-36 dunia dijangka berdepan cabaran sukar apabila dijadual bertemu pilihan kelima dari Denmark, Anders Antonsen bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.
Antonsen tidak perlu bermandi peluh bagi melayakkan diri ke pusingan kedua selepas lawannya dari Guatemala, Kevin Cordon menarik diri sebelum aksi pusingan pertama.
Di Nanning, China tahun lalu, Daren, 31, melakar kejutan apabila dia yang tidak diletakkan sebarang harapan menjadi wakil tunggal negara mara sehingga ke separuh akhir.
Langkahnya terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun.