David Luiz sertai Arsenal?

LONDON: David Luiz tidak kelihatan pada sesi latihan pertama Chelsea semalam dan dia kini dikaitkan bakal pindah ke Arsenal.

Difahamkan, Luiz sejak kebelakangan ini menjadi pemain yang banyak kelihatan terganggu di Pusat Latihan Cobham sekali gus mencetus perkembangan mengejutkan.

Pertahanan Brazil itu melapor diri untuk memulakan latihan tetapi kemudian tidak muncul di padang latihan sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai peranannya bersama kelab musim ini.

Sumber yang rapat mendedahkan bahawa tindakan Luiz tidak menyertai latihan kendalian Frank Lampard itu sudah direstui, tapi pandangan itu berbeza dengan pegawai kelab lain yang mendakwa ketiadaan pemain itu adalah sebahagian pelan besar yang diatur supaya membolehkan dia melangkah ke Stadium Emirates.

Chelsea kini dilaporkan menunggu tawaran rasmi daripada Gunners, dengan harapan kelab utara London itu setuju dengan nilai £5 juta (RM21 juta) yang ditawarkan ke atas Luiz.

Chelsea tiada pilihan dan perlu merelakan pemergian pemain pertahanan itu bagi mematuhi arahan sekatan perbelanjaan yang dikenakan dan ia nyata terdesak melepaskannya tanpa pilihan membuat pertukaran pemain sebelum tarikh tutup jendela perpindahan EPL kurang 12 jam dari sekarang.

Chelsea sebelum ini melanggar polisi sendiri apabila mengekalkan Luiz yang sudah melebihi umur 32 tahun dengan lanjutan kontrak selama dua tahun awal tahun lalu.

Tapi masa depan Luiz sama kekal atau tidak di Stamford Bridge bergantung kepada kata putus Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

Namun memandangkan ketegasan Lampard yang tidak mahu kuda tua dalam pasukan itu, jelas prospek untuk bekas bintang Paris Saint-Germain itu ‘dipaksa’ meninggalkan Chelsea agak cerah di peringkat ini. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *