BARCELONA: Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya selama lima minggu susulan kecederaan hamstring yang diperoleh ketika kekalahan kepada Athletic Bilbao pada aksi pembukaan La Liga, umum juara Sepanyol itu semalam.
“Ujian perubatan terhadap Ousmane Dembele mendapati terdapat ketegangan di bahagian kiri hamstringnya dan pemain Perancis itu dijangka tersisih selama lima minggu,” kata kelab itu dalam laman web pasukan.
Kecederaan terhadap Dembele menjadi satu lagi tamparan terhadap jurulatih Barca, Ernesto Valverde selepas penyerangnya Luis Suarez turut dipapah keluar pada babak pertama yang menyaksikan pasukan itu tewas 0-1 kepada Bilbao, Jumaat lalu.
Bintang utama Barca, Lionel Messi tidak beraksi pada perlawanan itu susulan menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan betis yang menyaksikannya terlepas jelajah pra-musim di Amerika Syarikat.
Lawan Barca seterusnya dalam aksi La Liga ialah Real Betis pada Ahad ini. – Reuters