LONDON: Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui keletihan pemain menjadi faktor mereka terikat 1-1 ketika menentang Leicester di Stamford Bridge malam tadi, dan meminta anak buahnya memperaga lebih banyak ‘personaliti’ tatkala dia menanti mata kemenangan pertamanya.
Dibelasah 4-0 oleh Manchester United minggu lalu dan tewas menerusi penalti penentuan di tangan Liverpool dalam perebutan Piala Super UEFA pada Rabu, anak buah Lampard berjaya mendahului menerusi jaringan Mason Mount seawal minit ketujuh.
Jaringan berpunca kesilapan Wilfred Ndidi apabila Mount merampas bola sebelum meledak gol namun pemain tengah kelahiran Nigeria itu menebus kesilapan babak pertama itu apabila menanduk masuk gol penyamaan di Stamford Bridge.
Lampard mengakui anak buahnya keletihan susulan mengharungi perlawanan yang diheret ke penalti penentuan menentang Liverpool di Istanbul.
Perjalanan panjang dari Istanbul nyata memberi kesan kepada pemain Chelsea pada babak kedua yang menyaksikan Lampard tidak gembira apabila mereka gagal menyambar peluang dan meningkatkan asakan.
“Pada 25 minit pertama permainan menepati jangkaan, tetapi aksi selebihnya tidak. Kami memberikan terlalu banyak ruang. Itu yang mengejutkan saya kerana kami gagal menyambar peluang babak permulaan.” kata Lampard.
“Saya tidak mahukan kepantasan 100 batu sejam pada permulaan dan sepanjang masa tapi kita perlu menguasai bola dengan baik.
“Kita perlu ada lebih personaliti, pertengahan minggu lalu kami memilikinya, tapi malam ini kami tidak nampak perkara itu.
“Saya benci alasan keletihan tapi memang ia menjadi faktor pada babak kedua. Saya dapat rasakan di kalangan pemain.
“Jika faktor itu menjadi masalah, kita sepatutnya mengawal bola dan tidak perlu terlalu banyak berlari.
“Mesti ada kawalan permainan. Kami perlu lebih kuat. Inilah pengajaran yang kita dapat mulai hari ini.”
Lampard akan memburu kemenangan pertamanya apabila berkunjung ke laman Norwich minggu depan. – AFP