Ketua Ultras Lazio mati ditembak di kepala

ROME: Ketua kumpulan Ultras kelab bola sepak Lazio ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dekat sebuah taman di sini, lapor media Itali yang memetik kenyataan polis, semalam.

Fabrizio Piscitelli, yang juga dikenali sebagai ‘Diabolik’, dilaporkan diserang hendap oleh penembaknya dekat Taman Acqueducs, tidak jauh dari Cinecitta, di pinggir Rome.

Laporan media Itali menyebut Piscitelli sejak kebelakangan ini terbabit dalam beberapa siasatan berkaitan kes dadah dan kematiannya dikatakan ada kaitan dengan pesaingnya yang mahu menguasai pasaran bahan terlarang itu.

Menurut polis, penyerangnya melepaskan tembakan dari jarak dekat dan mengenai bahagian kiri kepala.

‘Diabolik’ dan kumpulan Ultras yang menguasai Curva Utara yang terkenal di Stadium Olimpik tidak pernah sunyi daripada kontroversi.

Pada Ogos 2018, kumpulan Ultras Lazio itu pernah mengharamkan penonton wanita daripada duduk di bangku depan stadium berkenaan,

“La Curva Nord adalah tempat suci, wanita, isteri atau tunang pemain tidak dibenarkan duduk pada kawasan di barisan 10 bangku pertama,” kata kumpulan itu.

“Kami mengundang sesiapa yang memilih stadium sebagai alternatif menggantikan hari romantik di Villa Borghese atau pilih tempat lain.”

Ultras Lazio juga dilaporkan kumpulan penyokong yang bersikap anti Semitik sepanjang berdepan kumpulan lawan dari pasukan AS Roma yang berkongsi stadium sama. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *