LONDON: Liverpool mengesahkan mengikat penjaga gol West Ham, Adrian secara percuma menggantikan Simon Mignolet yang menyertai Club Brugge, di Belgium.
“Saya sangat gembira berada di sini dan dapat bekerja dengan kelab hebat dan tak sabar memulakan aksi seberapa segera yang boleh,” kata Adrian kepada laman web Liverpool, pagi ini.
“Saya sangat teruja, saya datang ke sini dan cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan cuba bersaing dengan Ali (Alisson) dari minit pertama untuk kami sama-sama menjadi lebih bagus.
“Sejujurnya saya mahukan menjulang piala. saya datang ke sini dengan matlamat beraksi dalam semua perlawanan. Kami akan berdepan banyak perlawanan selepas ini dan kami akan cuba merebutnya.
“Saya sedia beraksi untuk perlawanan pertama di Anfield dan memenangi sebanyak mungkin perlawanan.”
Pemergian Mignolet disahkan semalam selepas Club Brugge mengumumkannya sejurus penjaga gol itu selesai menjalani ujian kesihatan pada Ahad.
Mignolet dalam mesej di Twitter, berkata bahawa dia ‘bangga diberi penghormatan tertinggi mewakili kelab terbesar di dunia dan meraih kejayaan yang tidak dinikmati pemain lain.”
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan selama ini baik pada waktu senang ataupun susah. Saya juga berterima kasih kepada jurulatih dan pengurus sepanjang bersama, pengalaman dan pengetahuan yang dicurahkan amat berharga.
“Saya bangga dapat berkongsi padang bersama pemain hebat beberapa tahun, tapi skuad yang ada ini adalah pasukan yang memiliki pemain terbaik. Saya tidak dapat melupakan malam di Madrid (ketika Liverpool menang Liga Juara-Juara Jun lalu), saya bangga dapat berkongsi detik itu bersama rakan-rakan yang hebat.”
“Ia satu pengalaman yang sangat hebat. Menikmati zaman turun naik bersama, saya akan selalu mengingati kenangan di Anfield. Saya tiada sebarang kesalahan, saya sudah berikan segala-galanya dan saya bangga menyarung jersi Liverpool dan rasa puas dapat mewakili kelab dengan penuh maruah dan profesional.
“Sekali saya sudah menyertai keluarga besar itu, maka selamanyalah saya kekal dalam sebahagian keluarga itu. Jauh di sudut hati, saya adalah anggota The Red. – Agensi