Lukaku terlepas aksi pertama angkara gemuk

ROME: Romelu Lukaku membalas semula kritikan yang mendakwa dia bakal terlepas aksi pertama Inter Milan menentang Lecce di Serie A angkara berat badan berlebihan.

Satu laporan mendakwa bintang Belgium itu terlalu gemuk lantas mendorongnya menanggalkan baju dan merakam gambar dengan kapsyen : ‘Not bad for a fat boy’.  

Lukaku melengkapkan perpindahannya dari manchester United dengan yuran sebanyak £73 juta (RM357 juta) awal bulan ini namun penyokong Inter perlu menunggu lebih lama untuk melihat penampilan pertamanya.

Menurut laporan Corriere dello Sport, Lukaku tiba di San Siro dengan berat badan berlebihan susulan tidak menyertai jelajah pramusim bersama United.

Media Itali itu mendakwa berat badan pemain antarabangsa Belgium itu mencecah 104 kilogram manakala had dibenarkan Inter di bawah 100 kilogram.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu sedar situasi itu dan kini giat menjalani latihan bagi mengurangkan berat badan.

Lukaku sempat berseloroh dengan mengatakan rejim latihan di United berbeza dengan di Itali.

“Ia agak sukar, ia berbeza. Di England, memang banyak kerja. Tapi di sini betul-betul kena kerja.”

Lukaku juga mengakui dietnya di Itali juga berubah dan banyak memakan salad.

“Saya datang ke sini bukan untuk hidup saja. Saya ke sini untuk membantu pasukan mencapai sesuatu,” kata Lukaku.

Bekas pemain Everton dan sayap Chelsea itu juga memuat naik gambar kakinya yang berotot ke Instagram. 

Dengan ketiadaan Lukaku, Inter dijangka menurunkan gandingan yang berusia 17 tahun, Sebastiano Esposito dengan Lautaro Martinez ketika berdepan Lecce pada aksi 26 Ogos ini.  – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *