Malaysian Tigers kejutkan Sepanyol

KUALA LUMPUR: Penantian penggempur muda hoki negara, Akhimullah Anuar Esook untuk menghasilkan jaringan sulung antarabangsa terlerai dalam Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, pagi tadi.

Dia yang ketandusan gol sejak membuat penampilan sulung pada Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur tempoh hari meledak gol penyamaan negara ketika bangkit mengejutkan Sepanyol 4-3 pagi tadi.

Ia sekali gus menamatkan kemarau gol Akhimullah, 19, yang sebelum ini gagal menemui gawang gol dalam lapan aksi pertama seterusnya mendapat pujian ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans.

“Kami bermain dengan baik pada suku kedua tetapi malangnya kami melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutamanya pada suku ketiga.

“Bagaimanapun, di suku keempat kami berjaya untuk bangkit mengubah kedudukan perlawanan.

“Marhan menjadi antara watak penting untuk pertemuan hari ini selain Akhimullah berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama pasukan kebangsaan,” katanya di laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Ketinggalan 3-1 pada suku ketiga kepada pasukan kesembilan dunia itu nyata tidak mematahkan semangat pemain negara untuk bangkit mencari tiga gol pada suku terakhir selepas Sepanyol di depan menerusi menerusi jaringan padang Xavi Lleonart dan Albert Beltran masing-masing pada minit ke-10 dan 24.

Penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil merapatkan jurang seminit kemudian hasil gerakan pukulan sudut penalti sebelum Alvaro Iglesias menyumbat gol ketiga Sepanyol di suku ketiga.

Begitupun, aksi berbeza ditampilkan skuad Malaysian Tigers di suku keempat apabila bangkit menghasilkan tiga gol bermula daripada jaringan Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-49.

Kemudiannya tiba giliran ‘budak ajaib’ Akhimullah mengikat aksi 3-3 di hujung permainan dengan Razie Rahim muncul wira apabila menyumbat pukulan sudut penalti yang dihadiahkan di saat akhir.

Malaysian Tigers akan turun berdepan pasukan ke-11 dunia Ireland tengah malam nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *