Neymar makin hilang sabar

PARIS: Bintang Paris Saint-Germain (PSG) Neymar meningkatkan spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan keluar dari kelab Perancis itu apabila memetik kata-kata Bob Marley di laman Instagram.

Penyerang kelahiran Brazil itu kuat dikaitkan dengan kepulangan semula ke bekas kelabnya, Barcelona selain ke Juventus dan Real Madrid.

PSG terbuka dengan idea meminjamkannya dengan pilihan jualan secara tetap tatkala Neymar berusaha mencari jalan untuk angkat kaki selepas tiba ke kelab itu sebagai pemain termahal dunia, dua tahun lalu.

Neymar dikritik oleh peminat kelab itu pada perlawanan pembukaan Ligue 1, minggu lalu yang melaungkan kata-kata seperti “keluar” malah ada yang menghinanya sebagai anak luar nikah.

Dia kemudian membalasnya dengan memetik kata-kata terkenal daripada artis legenda Jamaica, Marley di laman Instagramnya. 

“Orang dibenci apabila mereka benar, dan digemari apabila mereka palsu,” tulis Neymar di samping gambar Marley.

Selepas terlepas aksi pembuka musim yang menyaksikan PSG menang 3-0 ke atas Nimes, Neymar sekali lagi diketepikan PSG ketika juara Ligue 1 itu tewas 1-2 kepada Rennes minggu lalu.

Neymar berdepan kritikan hebat sebelum kempen ini membuka tirainya selepas gagal tiba ke latihan pra-musim pada masa yang ditetapkan selain dipalit masalah kecederaan yang menghalangnya daripada beraksi di Copa America.

Pengurus PSG, Thomas Tuchel menegaskan Neymar tidak akan meninggalkan kelab itu tanpa pengganti yang setaraf dan menambah situasi berkenaan masih belum jelas.

Jendela perpindahan musim panas Eropah akan ditutup pada 2 September ini. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *