Neymar sah bebas tuduhan rogol model

SAO PAULO: Pendakwaraya Brazil semalam menggugurkan dakwaan rogol yang dihadapi bintang bola sepak kebangsaannya, Neymar sekali gus menamatkan kemelut kes paling berat dihadapi pemain Paris St Germain itu.

Bekas kapten Brazil itu dituduh merogol seorang model dalam sebuah bilik di sebuah hotel di Paris namun siasatan mendapati ia kekurangan bukti.

“Hanya terdapat hubungan mesra saja,” kata seorang pegawai pendakwaraya, Estefania Paulin, kepada wartawan di Sao Paulo.

“Tidak ada bukti berlaku keganasan seks.”

Pihak kehakiman mengeluarkan keputusan mengenai kes itu selepas polis yang menyiasat tuduhan itu mendapati tada perlakuan keatas mangsa dan keluarga Neymar menyambut baik keputusan berkenaan.

“Satu lagi langkah telah terlaksana, yang paling besar dan begitu bermakna sekali sepanjang perjalanan kes yang begitu getir yang menyaksikan kami sekeluarga hidup dalam kebimbangan beberapa bulan,” kata Neymar Sr.

“Nak, marilah kita teruskan hidup ini dan jagalah maruah dengan perasaan yang tenang dan damai sebagai orang yang terbukti tidak bersalah.”

Kes Neymar itu mendapat perhatian seluruh dunia sejak Mei sejurus seorang model membuat aduan yang mendakwa bekas penyerang Barcelona dan kelab Santos itu memperkosanya dalam sebuah bilik hotel ketika mereka bertemu di Paris dan kemudian tersebar di media sosial.

Neymar menafikan tuduhan itu dengan menyebarkan mesej peribadi dan gambar-gambar menerusi medium sama sebagai mempertahankan diri.

Namun, Neymar masih berdepan satu lagi siasatan berhubung tuduhan kes jenayah menyebarkan bahan foto lucah menerusi internet. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *