LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menjangkakan perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini lebih terbuka berbanding musim lalu yang menyaksikan anak buahnya bersaing rapat dengan Liverpool hingga penghujung musim.
City menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti Perisai Komuniti di Wembley malam tadi selepas kedudukan masa sebenar berakhir seri 1-1.
Pertembungan itu bakal menyaksikan kedua-dua pasukan itu dijangka mengulangi saingan musim lalu sebaik Liverpool memulakan saingan Sabtu ini menentang Norwich City di Anfield sebelum City berkunjung ke laman West Ham United sehari selepas itu.
Musim lalu, City muncul juara liga dengan 98 mata manakala Liverpool (97 mata) selepas skuad Guardiola menang aksi terakhir liga, diikuti Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Manchester United yang menamatkan musim di kelompok enam teratas.
Guardiola bagaimanapun tidak melihat situasi sama akan berlaku musim ini.
“Saya rasa di awal musim semua enam pasukan ini adalah pencabar utama,” katanya.
“Saya tidak pasti ia akan berakhir sama seperti musim lalu, hanya membabitkan dua pencabar. Saya fikir United (dengan kehadiran Harry) Maguire dan pemain lain, juga akan hebat, begitu juga Arsenal, Chelsea dan Tottenham.
“Saya rasa banyak pasukan akan menjadi pencabar kali ini.”
Dalam saingan pembuka tirai di Wembley itu, City menguasai babak pertama apabila bekas pemain Liverpool, Raheem Sterling menyumbat gol pembukaan seawal minit ke-12.
Namun Joel Matip menyamakan kedudukan di babak kedua tetapi Liverpool terlepas cubaan untuk memenangi saingan itu dengan ketangkasan penjaga gol City, Claudio Bravo yang menyelamatkan beberapa cubaan tepat termasuk menyelamatkan penalti Georginio Wijnaldum bagi membolehkan City meraih trofi sulung dengan kemenangan 5-4.
Namun kedua-dua pasukan memperagakan permainan perlahan di awal permainan dengan Guardiola mengakui cuti musim panas tidak dapat dinikmati sepenuhnya kalangan pemain terutama yang terbabit dalam komitmen Piala Negara Afrika dan Copa America.
“Saingan itu perlu diteruskan tapi mereka perlu mendengar rintihan pemain,” kata Guardiola.
“Kejohanan NBA misalnya banyak perlawanan juga, tapi pemain mereka mendapat rehat selama lima bulan. Riyad Mahrez hanya dapat rehat 10 hari.
“Banyak orang memperkatakan kami mendapat wang yang banyak, tapi ia diperolehi bukan dengan cara biasa.” – Reuters