LONDON: Bintang baharu Chelsea, Christian Pulisic enggan menyertai Manchester United kerana bapanya tidak menggemari Jose Mourinho.
Menurut bekas jurulatih Pulisic ketika beraksi di kelab bukan liga, Brackley Town pada 2005, Robin Walker, pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu tidak pernah berfikir untuk pergi ke Old Trafford berikutan pengendali dari Portugal itu.
Rekod buruk Mourinho membabitkan pemain muda menyaksikan bapa Pulisic menutup segala potensi perpindahan membabitkan pemain berusia 20 tahun itu ke Manchester sebelum memilih Chelsea pada Januari lalu selepas meminta pandangan Walker.
“Dia tidak pergi ke Manchester United kerana Jose Mourinho,” kata Walker. “Bapanya tidak menggemari Mourinho kerana dia tidak memberi peluang kepada pemain muda.
“Ketika itu juga saya bertanya, ‘Bagaimana dengan London? Itulah di mana dia berada sekarang. Saya adalah peminat Chelsea, membesar di London dan menyokong mereka. Apabila saya berada di Dortmund tahun lalu, saya memberitahunya yang dia berpeluang untuk datang.”
Chelsea menandatangani Pulisic pada Januari sebelum dipinjamkan semula ke Dortmund dan tiba ke Liga Perdana pada permulaan musim ini dengan petanda awal nampak memberangsangkan.
Selain mendapat pujian ketua jurulatih, Frank Lampard, bekas penyerang Blues, Tony Cascarino baru-baru turut membayangkan Pulisic mampu menyamai kualiti Eden Hazard.
“Christian Pulisic nampak seperti dia akan menjadi pemain yang amat berbahaya untuk Chelsea,” kata Cascarino. “Saya tidak dapat mengingati Eden Hazard ketika muda sepantas dan selaju itu dan tiada sebarang alasan Pulisic tidak mampu meningkat dan menjadi seperti Hazard sekarang.
“Pulisic mengingatkan saya kepada Arjen Robben, kamu tidak dapat menghentikannya jika satu lawan satu kerana kamu tidak tahu arah mana dia akan pergi dan kepantasannya menakjubkan. Dia akan menjadi aset yang besar untuk Lampard musim ini.” – Agensi