LONDON: Everton menandatangani pertahanan kanan Monaco, Djibril Sidibe menerusi pinjaman selama semusim dengan pilihan pembelian secara tetap bagi pemain kebangsaan Perancis itu.
Pemain berusia 27 tahun itu menjadi pemain baharu keenam tiba di Goodison Park musim panas ini selepas penjaga gol, Jonas Lossl, pemain tengah Andre Gomes, Fabian Delph, Jean-Philippe Gbamin dan penyerang Moise Kean.
“Everton membuat pembelian baharu dengan sasaran untuk memenangi trofi dan bersaing di pentas tertinggi,” kata Sidibe.
“Saya 100 peratus bermotivasi dan bersedia untuk membantu kelab mencapai sasaran selain melaksanakan sasaran individu saya sendiri.”
Sidibe memainkan peranan penting ketika Monaco memenangi gelaran Ligue 1 pada musim 2016/17 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada musim yang sama.
Dia turut berada dalam skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia tahun lalu.
“Djibril mempunyai pengalaman yang menakjubkan, memenangi gelaran dan mengharungi banyak perlawanan dalam liga yang kompetitif,” kata pengendali Everton, Marco Silva.
“Dia adalah pemenang Piala Dunia dan dia mempunyai keinginan tinggi untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam kariernya.” – AFP