Skuad bola kita juara Olimpik Istimewa di Chennai

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih satu emas dan satu gangsa pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Olimpik Istimewa di Chennai, India baru-baru ini diharap membuka mata pelbagai pihak khusunya Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan dalam memberikan sokongan kepada pergerakan Olimpik Istimewa di negara ini.

Pengerusi Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), Nur Azida Daud berkata seramai 22 pemain dan pegawai menyertai kejohanan yang berlangsung dari 3-6 Ogos lalu di Stadium Jawarhalal Nehru di Chennai dengan skuad bola sepak lelaki mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas divisyen 1. Skuad bola sepak negara menewaskan Korea Selatan 7-2 di final.

Skuad wanita negara pula membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Maldives 6-0.

“Kami bergerak secara bersendirian dan berharap ada pihak yang memberi sokongan dan bantuan kepada pergerakan kami,” katanya kepada BH di sini hari ini.

Katanya, penyertaan negara di kejohanan yang membabitkan 200 peserta dari 12 negara itu ditanggung sepenuhnya oleh penganjur bersama,  Lions Club International District 324 A6 dan Youth Development Consortium, dengan merangkumi tiket penerbangan hinggalah ke penginapan dan makanan.

“Malaysia Airlines (MAS) banyak membantu kami dengan menyediakan lorong khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) buat pasukan kita dan juga memberikan harga tambang yang sangat murah. Tiket itu kemudian dibayar penganjur yang banyak membantu kita,” katanya.

Untuk rekod, Olimpik Istimewa adalah pergerakan antarabangsa dalam program membantu mengakhiri diskriminasi terhadap mereka yang menghadapi masalah intelektual terutama kanak-kanak. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *