KUALA LUMPUR: Walaupun kalah, pasukan hoki kebangsaan mempamerkan prestasi cemerlang selepas berjaya mengurangkan defisit gol dalam perlawanan ujian menentang Sepanyol di Barcelona, semalam.
Skuad Malaysian Tigers ketinggalan 0-1 kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu apabila Pau Quemada menjaringkan gol pada minit ke-30, yang meletakkan Sepanyol di depan.
Ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans berkata empat pemain tonggak negara mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menyempurnakan penyudahannya.
“S Kumar (penjaga gol kebangsaan) beberapa kali menyelamatkan gol dengan baik tetapi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Joel Samuel Van Huizen, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook gagal menyudahkan peluang-peluang itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Oltmans berkata selepas perlawanan tamat, kedua-dua pasukan mengadakan `penalty shoot-out’ persahabatan yang dimenangi Malaysia 3-2.
“Adrian membuat penampilan sulung dan Marhan bermain bagi kali ke-250 untuk Malaysia. ‘Shoot-out’ persahabatan itu dimenangi 3-2 oleh Malaysia. Adrian adalah penjaga gol dan Faizal, Fitri dan Akhimullah penjaring gol,” katanya.
Dalam perlawanan ujian sebelum itu, pasukan hoki kebangsaan membuat kejutan apabila mereka mengalahkan bekas juara dunia dan pasukan ranking ketujuh dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld.
Malaysia akan meneruskan siri jelajah itu dengan beberapa lagi perlawanan, menentang Belanda pada 6 dan 8 Ogos, serta Belgium pada 10 dan 12 Ogos.
Pasukan kebangsaan juga akan mengambil bahagian dalam perlawanan jemputan empat negara yang juga akan disertai oleh Sepanyol, Ireland dan England dari 1 hingga 4 Ogos di Barcelona.
Siri Jelajah Eropah itu adalah sebahagian daripada program Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk mempersiapkan skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada November.
— BERNAMA