Super KIP kembali beraksi

PELUMBA Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Selepas terlepas enam pusingan perlumbaan, pelumba Moto2 Malaysia Khairul Idham Pawi akan kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Automotodrom Brno, hujung minggu ini.

Khairul Idham yang dikenali sebagai Super KIP terpaksa berehat daripada menyertai perlumbaan sebelum ini bagi membolehkannya pulih daripada kecederaan tangan yang dialaminya di GP Sepanyol pada Mei lalu.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing Team berusia 20 tahun itu mengakui menggemari litar Brno susulan keputusan yang baik diperoleh sebelum ini dan berharap akan dapat mengejar semula kedudukannya, dengan kembali mengutip mata perlumbaan.

“Pemulihan berjalan dengan baik, namun jari saya masih belum 100 peratus pulih dari segi kekuatan atau kelenturan,” kata Khairul Idham. “Kami berusaha untuk bersedia secepat mungkin, dan saya bekerja keras dengan fisioterapi saya bagi memastikan ia akan menjadi lebih baik tidak lama lagi.

“Ia belum pulih sepenuhnya, tetapi ia bukan satu masalah untuk menunggang dan saya semakin kuat setiap hari. Saya suka litar Brno kerana ia mempunyai banyak selekoh laju dan saya mempunyai kenangan yang baik pada kedua-dua Moto2 dan Moto3, jadi saya akan mencuba sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelumba kelahiran Perak itu menetapkan sasaran untuk kekal di posisi 15 terbaik dan mengakui sukar untuknya menduduki tempat lebih baik selepas ketinggalan enam pusingan perlumbaan.

“Sasaran saya adalah untuk kekal di kedudukan 15 terbaik, kerana saya ketinggalan banyak pusingan, jadi agak sukar untuk mengejar kedudukan lebih baik dengan pelumba lain berlumba secara terus, manakala saya tidak berlumba.

“Sokongan daripada pasukan, keluarga dan peminat saya amat penting, dan ia memberikan saya motivasi. Saya perlu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Doktor Mir dan pasukannya kerana mereka sudah lakukan yang terbaik bagi menyelamatkan jari saya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *