Syed Saddiq yakin kemelut Hafizh selesai tiga minggu lagi

PUTRAJAYA: Ada sinar baharu membabitkan masa depan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bakal menamatkan kontrak bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3 pada musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan pihak PETRONAS dan juga Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) bagi membincangkan masa depan pelumba itu.

“Kita tak boleh ketepikan bakat yang ada padanya (Hafizh) kerana beliau adalah ikon sukan permotoran negara, salah seorang anak muda yang berwibawa dan berbakat.

“Sekarang kita ada beberapa cadangan yang akan diketengahkan serta Datuk Razlan Razali (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menghalusi cadangan ini bersama pihak Hafizh,” katanya selepas Majlis Pelancaran The Great Malaysia Maraton di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau yakin jalan penyelesaian isu Hafizh dapat diselesaikan dalam tempoh tiga minggu sahaja lagi.

Masa depan Hafizh menjadi tanda tanya selepas Red Bull KTM Tech 3 tidak menyambung kontraknya pada tahun hadapan dan mengumumkan sudah menandatangani kontrak bersama pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder.

Terdahulu, Pengarah Teknikal The Great Malaysia Maraton, Rafiq Hakim Razali berkata pihak penganjur – Warisan Advertising Sdn Bhd menyasarkan 2,000 ke 3,000 penyertaan pada perlumbaan maraton bersiri terbesar di negara ini.

Perlumbaan siri pertama larian akan diadakan di Cyberjaya pada 6 Oktober ini dan perlumbaan kedua dijadual berlangsung di Johor Bahru dengan tarikhnya bakal diumumkan kelak dengan pelari bertuah yang melengkapkan semua siri larian berpeluang memenangi sebuah kereta Volkswagen Polo 1.6L.

  • Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *