Tahun 2018 paling ‘menyakitkan’ – Ronaldo

LISBON: Cristiano Ronaldo memberitahu rancangan televisyen Portugal, semalam yang ‘2018 adalah tahun paling sukar secara peribadi.’

Penyerang bintang itu berdepan dakwaan rogol tahun lalu selepas bekas model, Kathryn Mayorga memfailkan aduan terhadapnya pada September membabitkan serangan seksual pada 2009 di sebuah bilik hotel di Las Vegas.

Kes berkenaan kemudian digugurkan oleh mahkamah Nevada, Jun lalu walaupun ia tidak menyatakan sama ada Ronaldo bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Ronaldo menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan tetapi wujud laporan yang dia mengeluarkan bayaran kepada Mayorga bagi menggugurkan kes berkenaan.

“Apabila orang mempersoalkan harga diri kamu, ia menyakitkan,” katanya. “Ia amat menyakitkan kerana saya memiliki keluarga yang besar, isteri dan anak yang bijak yang memahami banyak perkara.

“Ini adalah kes yang saya tidak selesa untuk mengeluarkan kenyataan. Tetapi sekali lagi, saya tidak bersalah dan ia terbukti. Ia membuatkan saya bangga,” kata pemain Juventus dan bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *