Wolves jumpa Torino di playoff Liga Europa

LONDON: Wolverhampton Wanderers meraikan kemenangan agregat terbesar di pentas Eropah selepas skuad Liga Perdana Inggeris itu menewaskan kelab Armenia, Pyunik 4-0 awal pagi tadi, dan 8-0 keseluruhan untuk bertemu pasukan Serie A Torino pada playoff Liga Europa.

Pemenang aksi secara timbal balik pada 22 dan 20 Ogos itu akan mara ke saingan peringkat kumpulan, dengan perlawanan pertama playoff akan berlangsung di Itali.

Pemain gantian Diogo Jota menjaringkan gol akrobatik pada lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan di Molineux, dengan tiga gol sebelum itu hadir dalam tempoh 10 minit selepas rehat.

Wolves, menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Perdana musim lalu, beraksi di pentas Eropah buat pertama kali sejak Piala UEFA 1980-81.

Pemain baharunya dari Portugal, Pedro Neto membuka jaringan pada minit ke-54, dengan pemain remaja Morgan Gibbs-White melebarkan kedudukan empat minit kemudian sebelum Ruben Vinagre menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-64.

Torino menewaskan Shakhtyor Soligorsk 6-1 secara agregat selepas seri 1-1 pada aksi kedua di Belarus. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *