MUNICH, Jerman: Penyerang Perancis, Karim Benzema menjaringkan hatrik ketika Real Madrid menewaskan Fenerbahce 5-3 pada perlawanan pramusim awal pagi tadi yang mengurangkan tekanan menghantui gergasi Sepanyol itu dan jurulatih Zinedine Zidane.
Bagaimanapun masalah masih kekal bersama Real ketika mereka melepaskan 16 gol dalam hanya 5 perlawanan persahabatan setakat ini.
Mereka berdepan lawan dari Turki itu yang menewaskan Tottenham 1-0 kelmarin dalam perlawanan pertama dari empat saingan yang juga menampilkan juara Jerman, Bayern Munich.
“Kami akan cari penyelesaian, kami akan bekerja keras. Saya bersama pemain dan saya tahu kami akan melakukannya dan akan melalui musim yang sangat bagus,” kata Zidane yang pasukannya kalah 7-3 kepada pencabar dari bandaraya sama, Atletico dalam saingan di Amerika Syarikat minggu lalu.
“Tiada siapa suka melepaskan tiga gol tetapi kami menjaringkan lima gol. Bagi kami ia adalah kemenangan positif.”
Persiapan Zidane untuk musim baharu juga dibayangi kemelut melanda Gareth Bale di kelab itu.
Bintang Wales itu tidak dibawa untuk saingan kelab itu dalam dua perlawanan di Munich selepas perancangan untuk berpindah ke pasukan China, Jiangsu Suning yang menawarkan perjanjian tiga tahun dengan nilai £1 juta pound (RM5.01 juta) seminggu gagal.
Benzema berkata kekalahan memalukan di tangan Atletico sudah berlalu dan tarikh penting adalah 17 Ogos apabila musim La Liga bermula. – AFP