Rooney langkah kanan bersama Derby

LONDON: Wayne Rooney menikmati kemenangan pada penampilan sulungnya di Derby apabila bekas bintang Manchester United itu membantu kelab Liga Kejuaraan itu menewaskan Barnsley 2-1, awal pagi tadi.

Rooney dinamakan sebagai kapten pada penampilan pertamanya di Derby sejak menyertai kelab divisyen dua Inggeris itu pada Ogos lalu dari kelab Liga Major Amerika (MLS), DC United.

Begitupun, penjaring gol terbanyak dalam sejarah United dan England itu tidak dibenarkan bermain sebelum aksi bertemu Barnsley dan hanya menjalani latihan dan melakukan tugas kejurulatihan selama beberapa minggu.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang turut menggantikan Krystian Bielik yang menjalani penggantungan menjadi satu-satunya perubahan yang dibuat oleh pengurus Derby, Phillip Cocu dalam kesebelasan utamanya yang sebelum ini menang ke atas Charlton Athletic.

Sekalipun ia adalah perlawanan kompetitif pertama Rooney sejak Oktober lalu, dia tidak digantikan pada aksi berkenaan.

Selain mencipta umpanan untuk gol pembukaan oleh Jack Marriott, Rooney turut turut terbabit dengan gol kemenangan Derby apabila melakukan hantaran tepat kepada Andre Wisdom yang kemudian melakukan lorongan rendah kepada penjaring gol, Martyn Waghorn.

Begitupun sebelum jaringan Waghorn, Elliot Simoes berjaya menyamakan kedudukan untuk Barnsley tetapi ia tidak berjaya untuk ‘merosakkan’ kepulangan semula penyerang legenda itu ke kancah bola sepak Inggeris.

Penampilan pertama Rooney memberikan pengurus, Cocu kemenangan berturut-turut pertama musim ini tetapi pasukan itu kekal menghuni tangga ke-17 liga. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *