Kematian Maradona disiasat

Kematian legenda bola sepak Argentina Diego Maradona mula disiasat pihak pendakwa raya bagi memastikan sama ada ia membabitkan kecuaian daripada segi perubatan.

“Timbul beberapa perkara yang mencurigakan,” kata ahli keluarga Maradona.

Peguam Maradona Matias Morla sebelum ini meminta siasatan dilakukan terhadap dakwaan yang mengatakan ambulans mengambil masa lebih setengah jam untuk tiba ke rumah bintang bola sepak itu selepas menerima panggilan kecemasan pada hari kematiannya.

Laporan autopsi awal mendapati Maradona meninggal dunia dalam tidur pada tengahari Rabu lalu akibat kegagalan paru-paru dan jantung.

Pejabat pendakwa raya di Buenos Aires turut membuka kertas siasatan bertajuk ‘Maradona, Diego. Penentuan punca kematian’.

“Siasatan dimulakan kerana dia adalah individu yang meninggal dunia di rumah dan tiada sesiapa yang menandatangani sijil kematiannya.

“Ia tidak bermaksud mengesyaki apa-apa atau ada sesuatu yang mencurigakan,” kata sumber kehakiman.

Legenda Argentina berusia 60 tahun itu menerima rawatan rapi di rumahnya di Tigre, Utara Buenos Aires di mana dia menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di otaknya awal bulan ini.

“Anda perlu memastikan jika mereka melakukan apa yang sepatutnya atau mereka sambil lewa.

“Jururawat membuat kenyataan pada hari kematian Diego, kemudian menjelaskan kenyataannya dan akhirnya muncul di kaca televisyen mengatakan yang dia dipaksa berkata demikian.

“Jadi terdapat percanggahan dalam kenyataannya,” kata ahli keluarga Maradona. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *