KES NAJIB l Arahan supaya nama bekas perdana menteri Najib Razak disembunyikan semasa memproses urus niaga perbankannya dibuat oleh Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, seorang saksi hari ini.
Mengesahkan perkara itu pada hari ke-44 perbicaraan SRC International ke atas Najib, bekas pengurus hubungan AmBank Joanna Yu semasa soal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu bahawa dia diarah oleh Low dan Nik Faisal untuk tidak mendedahkan nama ahli politik setiap kali dana dimasukkan ke dalam akaunnya.
Nik Faisal, juga bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, adalah orang yang diberi kuasa untuk mengendalikan akaun bank Najib.
Yu: Ya, kami diberitahu bahawa kami tidak boleh menyenaraikan nama Datuk Seri (Najib).Iklan
Harvinderjit: Kamu diberitahu oleh Low bahawa ia adalah rahsia dan tidak mendedahkan namanya?
Yu: Saya diberitahu demikian oleh Low.
Semasa perbicaraan hari ini, Yu juga memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia disuruh memadamkan perbualan di Blackberry Messenger (BBM) miliknya pada 2015.
Menurut transkrip perbualan BBM Yu yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit, ahli perniagaan itu telah mengarahkannya untuk memadamkan catatan perbualannya pada pagi 3 Mac 2015.
Yu mengesahkan perbualannya itu tetapi memberitahu bahawa dia tidak mematuhi arahan Low.
“Ya (Low beritahu saya untuk memadamkan perbualan BBM) tetapi saya tidak pernah melakukannya, kerana saya tidak tahu bagaimana,” katanya .
Yu juga menafikan bahawa dia memadamkan catatan perbualan BBM selepas Mac 2015 dan berkata bahawa catatan perbualan melalui aplikasi itu sepatutnya berada dalam BlackBerry miliknya yang dirampas oleh Bank Negara pada tahun yang sama.
- malaysiakini