JPN Kelantan adakan sesi kaunseling pelajar

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menganjur sesi bimbingan dan kaunseling di semua sekolah di negeri itu untuk membentuk sahsiah pelajar.

Pengarahnya, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari berkata sesi bersama kaunselor itu akan digerakkan berikutan beberapa kes luar jangkaan membabitkan segelintir pelajar sejak akhir-akhir ini sehingga tular di media sosial.

“Sesi bersama kaunselor akan diberikan mengikut aspek yang diperlukan atau isu yang dibangkitkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu remaja memijak al-Quran baru-baru ini dan memberitahu, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut termasuk mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak.Iklan

Katanya siasatan awal pihaknya mendapati dakwaan sesetengah pihak yang kejadian tersebut berlaku di Kusial, Tanah Merah adalah tidak benar.

Abu Hanipah berkata pihaknya dimaklumkan remaja itu adalah orang kurang upaya (OKU) lembam namun maklumat lengkap mengenai perkara itu belum diperoleh.

“JPN juga akan menyiasat punca kejadian itu dan dari mana kumpulan remaja terbabit berasal.

“Selepas mendapat semua informasi yang diperlukan, baharulah JPN Kelantan dapat mengatur tindakan lanjut,” katanya.

Jumaat lalu, polis Kelantan menahan empat remaja perempuan berumur antara 17 dan 18 tahun di rumah masing-masing antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam berhubung kejadian memijak al-Quran di Kampung Gobek, Gual Ipoh, Tanah Merah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Mawar-Yadim), Dr Hafidzah Mustakim, berpendapat masalah itu perlu ditangani secara berhemah dengan pendekatan mendidik dan bukannya menghukum.

“Mawar-Yadim melihat kejadian ini sebagai satu loceng amaran dan wake up call kepada semua pihak terhadap hakikat apa yang berlaku kepada sebahagian anak-anak generasi baru.

“Kami menyeru supaya masyarakat mengambil iktibar dan ibu bapa serta pendidik perlu menekankan pendidikan menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja fizikal, mental dan rohani tetapi juga pendidikan reproduktif serta seksualiti,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *