11,000 tandatangan petisyen tuntut senator PKR letak jawatan

Satu petisyen dilancarkan bagi menuntut peletakan jawatan senator Mohd Imran Abd Hamid dan pemecatannya daripada PKR berikutan cadangan akta gangguan seksual bagi melindungi lelaki daripada godaan wanita.

Setakat ini petisyen tersebut menerima lebih 11,000 tandatangan.

Petisyen itu yang dimulakan oleh aktivis sosial, Mujahidin Zulkiffli pada Khamis lalu di change.org, menggesa senator berkenaan meletakkan jawatan dari Dewan Negara kerana cadangan itu bertentangan “logik etika dan norma-norma sosial”.

“Petisyen ini adalah untuk menuntut peletakan jawatan beliau sebagai senator, dan rayuan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memecatnya daripada parti itu dan untuk Yang di-Pertuan Agong memecatnya daripada Dewan Negara.Iklan

“Apa yang dia dicadangkan adalah jelas menyalahkan mangsa dan bertentangan sepenuhnya dengan mana-mana logik etika dan norma-norma sosial.

“Jika lelaki boleh dilindungi daripada melakukan kesalahan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, dan mengelakkan diri dengan menyalahkan pemakaian mangsa atau bagaimana mereka berkelakuan, wanita dan kanak-kanak tidak akan tidur dengan aman lagi,” jelas petisyen berkenaan.

Mujahidin menambah “orang sakit yang berfikiran seperti itu tidak layak berada di negara ini”, apatah lagi dalam Dewan Negara.

Pada masa berita ini ditulis, petisyen itu telah berjaya mengumpul lebih 11,100 tandatangan.

Pada 31 Julai lalu, Imran dalam satu ucapan di Dewan Negara mencadangkan akta gangguan seksual digubal untuk melindungi lelaki daripada ‘tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol’.

“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya,” beliau dilapor berkata.

Selepas mendapat bantahan dan tekanan daripada pelbagai pihak, Imran akhirnya memohon maaf dan menarik balik cadangan itu.

  • malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *