Exco Selangor, Izham Hashim mengesahkan kerajaan negeri itu sedang dalam usaha meminda Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata ia masih pada peringkat awal dan belum pun dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Ada (cadangan pindaan) dan (perbincangan mengenainya) sikit sahaja. Tapi cadangan tersebut belum dibentangkan lagi, maklumat lanjut pun kami belum dapat lagi,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan cadangan berhubung pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor, namun tiada perincian lanjut berhubung perkara itu setakat ini.
Iklan
Semalam media melaporkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan ahli dewan undangan negeri yang beragama Islam di negeri itu bagi membincangkan mengenai cadangan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor.
Perbincangan yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar itu juga didakwa dibuat selepas pembentangan rang undang-undang pindaan itu ditangguhkan di DUN Selangor, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Amirudin hari ini dilaporkan berkata pertemuan malam tadi adalah sesi taklimat daripada Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dalam kapasitinya sebagai menteri kerajaan dan perumahan tempatan.
- malaysiakini