PETALING JAYA: Seorang peguam menggesa polis dan pendakwa raya tidak menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma apabila berdepan penjenayah tegar, termasuk menafikan ikat jamin bagi mereka.
Baljit Sidhu berkata, Parlimen meluluskan Sosma pada 2012 untuk membantu agensi penguatkuasaan undang-undang menangani kesalahan keselamatan seperti aktiviti keganasan.
“Ia tidak pernah bermatlamat untuk digunakan terhadap penjenayah disyaki,” katanya mengulas kenyataan polis yang menggunakan Sosma dalam pendakwaan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Emi Keju”.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, Sosma akan digunakan untuk mendakwa geng penjenayah itu kerana undang-undang biasa tidak dapat melumpuhkan mereka dengan ada di kalangan anggotanya hilang selepas dibebaskan dengan ikat jamin.
Baljit berkata, polis boleh membuat laporan berhubung kehilangan mereka dan pendakwa raya boleh membangkitkan contoh lampau anggota geng itu hilang untuk terus menahan mereka sebagai tahanan reman sementara menunggu keputusan perbicaraan.
Katanya, anggota geng boleh didakwa dengan kesalahan serius seperti membunuh dan samun bersenjata di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Pertubuhan, manakala pendakwa raya boleh menggunakan Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Bukti untuk membuktikan kes mereka.
“Prosedur Sosma tidak patut disalahgunakan kerana undang-undang itu untuk tujuan lain.”
Katanya, Sosma memberi pendakwa raya lebih kuasa dalam menjamin sabitan, tetapi ia menafikan perbicaraan adil untuk tertuduh.
Beliau turut mendapati kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan atau meminda undang-undang drakonian.
Beliau memetik satu kes di mana 42 lelaki didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang “Geng 360 Devan” dibebaskan tahun lalu, selepas sebuah mahkamah khas menjatuhkan hukuman penjara setahun disebabkan pertuduhan dipinda kepada anggota pertubuhan haram.
Seramai 19 lelaki daripada geng “Emi Keju” didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan terbabit dalam jenayah terancang.
Lapan belas daripada mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang antara 2017 hingga tahun ini.
Manakala seorang lagi tertuduh, Mohamad Yusuf Mat Nasir, didakwa di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan atas dakwaan membantu ahli kumpulan jenayah terancang.
Mereka boleh dipenjarakan 5 hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana prosedur Sosma akan digunakan dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi.-FMT