Kes bunuh warga emas: Seorang lagi wanita ditahan

Polis menahan seorang wanita menjadikan kesemuanya lima individu ditahan sejak Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes sepasang suami isteri warga emas yang disyaki dibunuh di Taman Desa Melati, Nilai, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan di perkarangan balai polis Mantin di Nilai semalam, ketika hadir memberi keterangan.

“Permohonan reman telah dilakukan di Mahkamah Seremban dan wanita itu dibenarkan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 5 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di Nilai, hari ini.Iklan

Sementara itu, empat individu berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun yang ditahan pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan, akan dibawa ke mahkamah esok.

Reman kesemua mereka akan tamat esok selepas direman sejak Jumaat lepas.

Dalam kejadian 10.45 malam Rabu lepas, polis menemui mayat suami isteri itu dengan kesan tikaman dan kelar, pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, yang dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasil bedah siasat Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, mendapati punca kematian pasangan suami isteri itu adalah disebabkan kecederaan parah akibat tikaman berganda.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *