MB jumpa mangsa pencemaran

TEMPOH 10 minit diluangkan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bertemu kira-kira 100 individu mewakili Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Sekitar (BBPIPA) di perkarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang selepas Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang melegakan pihak berkenaan.

Ia sekali gus memberi peluang kepada mereka menyerahkan memorandum secara terus kepada Dr Sahruddin sebelum pemimpin kerajaan negeri itu menyatakan komitmen membela nasib penduduk Pasir Gudang.

Pengerusi BBPIPA, Muhammad Fauzi Rohani berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Dr Sahruddin kerana sudi bertemu mereka.

“Menteri Besar terima memorandum kami dan memberitahu akan mengkaji apa yang kami cadangkan. Beliau berjanji akan beri komitmen.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dapat bertemu sendiri dengan beliau. Terima kasih juga kerana beliau sudi jumpa kami, mangsa pencemaran,” katanya.

Menerusi memorandum itu, BBPIPA meminta lima perkara supaya dilihat kerajaan negeri iaitu komunikasi, kebajikan, pampasan, kerjasama dan kawalan.

Mereka juga memberi tempoh tiga minggu kepada Menteri Besar untuk berhubung semula dengan mereka supaya ada maklum balas positif.

“Kita minta ada komunikasi kerajaan negeri dengan mangsa dan Alhamdulillah hari ini ada sesi townhall. Kita juga mohon soal kebajikan, pampasan, kerjasama dan kawalan suasana di Pasir Gudang supaya kita dapat mengembalikan Pasir Gudang yang sejahtera.

“Jika boleh, selepas ini adakan townhall khusus bersama mangsa saja,” katanya.

Terdahulu, BBPIPA berhimpun di perkarangan stadium sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berhubung insiden pencemaran yang berulang di kawasan itu.

Berhubung dakwaan tidak dibenarkan memasuki sesi townhall, Muhammad Fauzi berkata, beliau sebagai pengerusi badan bertindak itu menjadi wakil dalam sesi berkenaan.

“Terima kasih kepada Pegawai Daerah Johor Bahru sebagai penganjur kerana kami turut dijemput hadir ke sesi ini, tetapi kami faham memanglah bukan semua boleh masuk.

“Saya sebagai wakil, saya masuk dan saya sendiri berkesempatan mengajukan beberapa soalan dalam sesi townhall berkenaan,” katanya.

-myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *