‘Nora sentiasa di hati kami’

SEREMBAN: “Nora akan sentiasa ada di hati kami,” kata keluarga Nora Anne Quoirin dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook di sini, hari ini.

Keluarga remaja itu turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kerana berusaha sehabis baik mencari anak mereka.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk setempat kerana turut sama membantu, selain doa dan sokongan daripada orang ramai.

“Nora Anne berjaya menyatukan Perancis, Ireland, Britain dan negara ini dalam misi mencarinya secara bersama serta memberi sokongan dan kasih sayang kepadanya.

“Dia (Nora Anne) bukan saja menyentuh hati rakyat Malaysia, tetapi juga seluruh dunia. Kepada semua rakan dan keluarga di rumah, kami ucapkan terima kasih untuk kasih sayang ini.

“Nora sentiasa di hati kami sekeluarga. Dia gadis istimewa dan kami amat menyayanginya sepenuh hati. Kami sangat terkesan dengan pemergiannya. Hati kami luluh.

“Kami akan sentiasa menyayangi Nora,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR bagi mengesan remaja Ireland itu.

Selepas 10 hari melaksanakan pencarian, mayat gadis itu ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort berkenaan.

Mayatnya kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk proses bedah siasat.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *