Akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia Utusan Malaysia mungkin menamatkan operasinya Rabu ini ke satu tarikh yang tidak didedahkan, dakwa beberapa pekerjanya.
Nasib sama dikatakan akan menimpa Kosmo! – tabloid dikeluarkan penerbit sama Utusan Melayu (M) Berhad.
Pengerusi Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak memberitahu Malaysiakini keputusan itu diberitahu secara lisan kepada beberapa pekerjanya hari ini.
“Kami akan bekerja hari terakhir Rabu ini.
“Lepas itu kita tutup, tak ada operasi lagi,” katanya yang juga pengerusi NUJ pusat.
Sekumpulan pekerja Utusan hari ini berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.
Nasib Utusan berubah selepas Umno dan BN kecundang dalam pilihan raya umum lalu di tangan Pakatan Harapan.
Setakat laporan ini ditulis, Utusan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan status operasi mereka.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Pengerusi Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir bagi mendapatkan maklum balas beliau.