52.2% responden tinjauan TMI pilih Nurul Izzah ganti Maszlee

LEBIH separuh responden terlibat dalam tinjaun dibuat The Malaysian Insight semalam memilih Nurul Izzah Anwar berbanding bekas menteri Mustapa Mohamed sebagai menteri pendidikan yang baharu.

Nurul, 39, mendapat 52.2% atau 775 undi untuk menggalas portfolio penting yang kosong selepas Dr Maszlee Malik meletak jawatan, semalam.

Beliau yang sudah tiga penggal di Parlimen mewakili Lembah Pantai dan Permatang Pauh juga adalah ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) dan pernah dilantik mengetuai pasukan gerak khas Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas pilihan raya 2018.

Tinjauan dibuat The Malaysia Insight bermula 2 sehingga 3 Januari itu meletakkan Mustapa di tempat kedua dengan 12.7% atau hanya 188 undi.

Mustapa, yang menyertai Bersatu pada 2018, adalah bekas menteri kanan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini yang menerajui beberapa kementerian utama seperti Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2009-2018), Pertanian dan Asas Tani (2008-2009) dan Pengajian Tinggi (2006-2008).

Selain itu, Mustapa juga pernah dilantik sebagai menteri kewangan kedua (1998-1999) dan menteri pembangunan usahawan (1995-1999).

Pemimpin berusia 69 tahun itu kini menerajui Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet di Parlimen.

Berada di tempat ketiga ialah Menteri Luar Saifuddin Abdullah yang meraih 6.5% atau 96 undi.

Pengundian turut meletakkan Pengerusi Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan daripada bersatu di tempat keempat dengan 42 undi atau 2.8%.

Manakala, Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir di tempat kelima dengan 2.3% atau 34 undi.

Seramai 1,486 responden terlibat dalam tinjauan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *