IBU bapa kepada remaja Ireland Nora Anne Quoirin menyaman resort tempat mereka menginap di Negeri Sembilan yang menyaksikan kejadian anak mereka hilang sebelum ditemui mati pada Ogos tahun lalu.
Free Malaysia Today memetik kenyataan peguam Sankara Nair yang mewakili keluarga berkata, saman sivil itu difailkan di Mahkamah Sesyen Seremban dan pengurusan kes pertama akan didengar pada 21 Januari ini.
Kata laporan itu, ibu bapa Nora, Sebastian and Meabh Quoirin menamakan pengendali resort The Dusun, Helen Marion Todd sebagai responden atas kehilangan dan kematian anak mereka.
Saman itu dibuat atas kegagalan pihak resort memastikan keselamatan anak mereka dan meminta pampasan lebih RM150,000.
Nora dilaporkan hilang pada hari dia tiba di tempat penginapan tersebut pada 4 Ogos.
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dibuat dan mayatnya yang tidak berpakaian ditemui 10 hari kemudian, 2.5km dari resort berkenaan.
Kejadian itu mendapat perhatian media antarabangsa.
Pada masa itu, polis berkata Nora telah mati akibat pendarahan gastrousus, mungkin disebabkan oleh tekanan dan kelaparan.
Polis juga tidak menemui sebarang tanda penculikan atau rogol dan menolak unsur khianat.
Bagaimanapun, ibu bapa Nora, Meabh dan Sebastian Quoirin percaya banyak soalan masih belum dijawab mengenai kes berkenaan.
“Untuk fikir bahawa Nora bangun pada tengah malam, tidak memakai baju, tidak berselipar, keluar dari banglo ke hutan, dengan kawasan itu sangat curam dan berbahaya, dalam keadaan kegelapan, langsung tidak masuk akal.
“Kami fikir ia tidak masuk akal untuk memikirkan kemungkinan itu,” kata Sebastian kepada media Ireland RTE.