MENTERI Luar Saifuddin Abdullah menepis dakwaan yang mengatakan beliau akan menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.
Beliau menegaskan ia hanya spekulasi yang dibuat oleh sesetengah pihak.
“Itu hanya spekulasi. `Nahi, nahi, nahi’ (Tidak, tidak, tidak),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pencapaian Kementerian Luar 2019 serta sasaran kementerian pada 2020, hari ini.
Beliau mengulas laporan media yang memetik kenyataan beberapa penganalisis politik tempatan terkemuka yang berpandangan Saifuddin antara calon sesuai sebagai pengganti Maszlee.
Maszlee dalam sidang media semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuat kuasa hari ini.