‘Cara Remy buat saya rasa dihormati’

KUALA LUMPUR: Pelakon Nur Fazura Sharifuddin, memuji Remy Ishak yang terlebih dahulu meminta izin sebelum memulakan babak bersentuhan ketika penggambaran filem Dendam Pontianak, dua tahun lalu.

Katanya, sikap menghormati wanita yang ditunjukkan Remy wajar dicontohi pelakon lelaki lain, meskipun babak dijayakan adalah tuntutan kerjaya mereka.

“Ketika penggambaran berlangsung pada 2017, saya baru mendirikan rumah tangga. Apabila ada babak yang memerlukan dia menyentuh saya, Remy terlebih dahulu meminta kebenaran.

“Saya terkejut kerana tidak semua pelakon lelaki berbuat demikian. Saya faham kerana sudah nama pun berlakon. Cara Remy itu membuatkan saya hormat kepadanya,” kata Fazura mengenai gandingannya dalam filem seram yang bakal menjengah pawagam bermula 12 September ini.

Selain Fazura dan Remy, produksi terbitan syarikat Singapura, Tiger Tiger Pictures dengan kerjasama Primeworks Studios itu turut dibintangi Namron, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid dan Nadia Aqilah.

Ia berkisar kejadian gempar yang berlaku di sebuah perkampungan selepas entiti wanita cantik dikatakan pontianak datang membuat kacau.

Kehadiran makhluk itu membuatkan penduduk kampung ketakutan hingga akhirnya, lelaki bernama Khalid membuka mulut mendedahkan rahsia di sebalik peristiwa itu.

Fazura sebelum ini, mengakui pernah diekori pontianak ketika di lokasi penggambaran filem arahan Gavin Yap dan Glen Goei itu.

Insiden itu turut disaksikan kru filem terbabit, tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana ia tidak membuat kacau dan mengganggu kerja penggambaran.

“Ketika sedang menikmati hidangan pada tengah malam, tiba-tiba seorang kru memaklumkan ada pontianak di belakang saya. Ingatkan dia bergurau, tetapi apabila saya berpaling, memang ada makhluk sedang memandang ke arah saya dari kejauhan.

“Rambutnya panjang menutup wajah, malah dia menyarung persalinan sama seperti saya iaitu kebaya putih bersama kain batik. Alhamdulillah, tiada perkara diingini berlaku dan kami juga dapat melangsaikan kerja, biarpun pada mulanya agak cuak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *