PERSEDIAAN mental dan fizikal adalah penting untuk memberikan prestasi yang terbaik dan meningkatkan ketahanan untuk menghadapi cabaran mendatang.
Sama ada dalam kehidupan harian mahupun ketika anda perlu menyiapkan diri untuk bersaing dalam sebarang pertandingan, kekuatan mental dan
hati turut memainkan peranan utama untuk mencabar diri seterusnya menggapai puncak kejayaan.
Kesempatan mengikuti figura jelita cukup dikenali dalam dunia kecergasan, Nana al-Haleq mempersiapkan diri untuk cabaran Under Armour Test of Will 2019 ternyata memberi inspirasi buat penulis.
Nana bukan nama asing dalam dunia kecergasan dan kini berkhidmat sebagai jurulatih kecergasan, hos kecergasan televisyen, jurugaya badan, memiliki populariti tersendiri terutama di Instagram berikutan tidak lokek berkongsi rutin senaman, pemakanan serta rahsia berat ideal.
Baginya, sungguhpun keupayaan fizikal memainkan peranan dalam sesuatu cabaran kecergasan, kekuatan mental nadi yang menggerakkan kemampuan seseorang untuk bersaing dengan diri sendiri.
ANTARA latihan sebelum bersaing dalam Under Armour Test of Will 2019.
“Idea cabaran ini tentunya untuk mencabar kemampuan diri ketika bertanding, tapi mencabar diri tidak bermakna anda perlu bersaing dengan peserta lain. Anda sebenarnya sedang bersaing dengan diri kerana kita adalah musuh bagi diri kita sendiri.
“Kita bersaing dengan diri setiap hari, dalam erti kata lain jika hari ini kita boleh lakukan sesuatu, esoknya pula kita menambah baik prestasi hari sebelumnya. Dengan ini kita dapat melihat sejauh mana dapat mendorong diri kita dalam setiap latihan,” katanya.
Bagi Nana, antara latihan fizikal, persediaan mental lebih sukar kerana ia juga yang membuatkan seseorang berhenti mencuba dengan tindakan fizikal cuma mengikut arahan daripada mental.
Katanya, tidak kira sama ada seseorang itu atlet, baru pertama kali menyertai cabaran itu, berpengalaman atau tidak, apabila sudah buat keputusan menyertainya, hati dan mental juga perlu kuat.
Katanya, apabila melihat peserta lain dalam cabaran itu, anda perlu katakan pada diri sendiri bahawa anda mampu melakukannya kerana jika anda fikir sebaliknya, secara automatik seluruh badan dan tenaga akan menjadi negatif.
“Jika anda melihat semua atlet yang hebat dalam cabaran itu, apa yang perlu dilakukan adalah dengan mencuba, anda harus beritahu diri sendiri yang anda boleh melakukannya, boleh lakukan lebih baik dan dorong diri melakukan sebaik mungkin,” katanya.
Selain latihan intensif setiap hari, Nana turut menyiapkan diri untuk sentiasa cergas dan bertenaga menerusi pemakanan seimbang dan bertepatan dengan latihan fizikal yang dilakukannya.
Menurutnya, peserta cabaran juga perlu tahu bahawa bukan hanya nutrisi makro yang memfokuskan pada lemak, protein dan karbohidrat saja, sebaliknya perlu fokus pada nutrisi mikro seperti vitamin dan mineral.
Katanya, ramai yang terlepas pandang kepentingan nutrien itu dan menganggap jika melakukan latihan, perlu fokus pada pengambilan karbohidrat, protein serta lemak saja.
Tapi katanya, apa yang membuatkan kita lebih fokus dan memberi tenaga tambahan serta penyembuhan semula adalah suplemen selain vitamin.
“Protein, asid amino, glutamin, L-karnitin, magnesium dan vitamin B semuanya perlu cukup untuk tubuh selain tidur dan rehat yang mencukupi. Jadi apabila semua ini melengkapi satu sama lain, tubuh anda secara automatik akan berfungsi dengan optimum.
BAGI Nana persediaan mental lebih sukar berbanding fizikal.
“Bagi yang menjalani latihan kekuatan dan ketahanan, saya cadangkan diet lemak tinggi (lemak baik seperti minyak ikan) dan diet rendah karbohidrat supaya anda merasa lebih ringan serta bertenaga.
“Ia bukan hanya berkenaan makanan yang diambil, pada asasnya memahami keseluruhan mekanik tubuh diperlukan kerana setiap orang berlainan keperluannya,” katanya.
Menurut Nana, tidur yang mencukupi juga penting namun jika dia tidak dapat tidur selama enam jam pada sebelah malam, dia akan cuba mengambil masa untuk tidur sebentar selama 10 minit pada siang untuk mengembalikan semula tenaga dan menyegarkan minda.
Nana turut menasihatkan supaya peserta mengelakkan kafein sebaliknya cuba gantikan dengan smoothie sayur-sayuran kerana vitamin dan mineral yang terdapat di dalamnya mempunyai sumber yang dapat memberi tenaga sama seperti kopi agar akan merasa lebih segar serta tidak merasa penat.
Menerusi cabaran kecergasan urban Test of Will 2019 yang memasuki edisi keempat tahun ini pada 3 dan 4 Ogos ini di IOI Putrajaya, Kuala Lumpur, ia menyediakan platform untuk atlet dan peminat kecergasan untuk mencabar batasan kekuatan, daya tahan serta kuasa mereka.
Pertandingan ini terdiri daripada empat cabaran dengan masing-masing berlangsung selama seminit dan peserta mendapat markah berdasarkan jumlah pengulangan yang dicapai dalam tempoh itu.
-myMetro