KECEWA dengan sikap rakan dalam perniagaan, pelakon Sherry Ibrahim enggan lagi meneruskan perniagaan tudung yang diusahakan sejak Ramadan lalu.
Sherry berkata, dia sudah penat dengan sikap individu terbabit yang tidak menghargai segala penat lelahnya, selain hanya mahu mengikut kepala sendiri.
“Mula-mula semuanya indah. Saya memberikan sepenuh komitmen dan kerja keras untuk memastikan perniagaan itu berjalan dengan baik.
“Bagaimanapun di pertengahan jalan, individu itu mahu ikut kepala sendiri dan ada benda yang tidak telus sepanjang perniagaan ini berjalan.
“Saya juga sudah memberikan beberapa peluang untuk dia perbaiki tapi masih tiada jalan penyelesaian membuatkan saya penat. Saya seperti tidak ada fungsi dalam perniagaan itu,” katanya.
Menurut Sherry, dia juga tidak mahu membawa perkara itu ke mahkamah kerana proses terbabit mengambil masa yang panjang.
“Kalau saya nak bawa kes ini ke mahkamah, saya perlu keluarkan wang sendiri. Lagipun saya tidak rasa mereka boleh membayar saya nanti.
“Apa yang saya nak sekarang adalah saya minta mengeluarkan nama saya dalam syarikat itu supaya dapat meneruskan perniagaan hijab yang baru” katanya.
Sherry berkata, dia tidak serik untuk berniaga lagi walaupun melalui beberapa tempoh sukar dalam perniagaan.
“Mungkin momentum perniagaan tudung yang bakal saya usahakan tidak lama lagi tidak sama seperti dulu, tapi naluri saya kuat mengatakan ia akan berjaya bersama pasukan yang baru ini,” katanya.
-myMetro