AFFIN ISLAMIC tawar produk pembiayaan untuk pelajar

KUALA LUMPUR: Affin Islamic Bank Bhd (AFFIN ISLAMIC) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama RCSI & UCD Malaysia Campus (RUMC) bagi menawarkan pakej AFFIN Pembiayaan Pendidikan-i kepada pelajar.

Pengenalan produk baharu berkenaan adalah sebahagian rangka anak syarikat milik penuh Affin Bank Bhd (AFFIN Bank) itu untuk mengukuhkan kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC, Nazlee Khalifah, berkata kerjasama itu menandakan komitmen syarikat untuk meningkatkan ikatan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Adalah menjadi hasrat kami untuk memberi bantuan pembiayaan kewangan kepada pelajar dalam pelbagai peringkat pendidikan tinggi kerana percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk

masa depan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis itu, Nazlee mewakili AFFIN ISLAMIC, manakala RUMC diwakili Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pendaftarnya, Prof David Whitford.

Mengulas lanjut, Nazlee berkata, AFFIN ISLAMIC merangka satu penyelesaian pembiayaan kewangan yang komprehensif dan inovatif untuk meringankan beban kewangan pelajar.

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami. Program pembiayaan yang disediakan oleh Bank untuk pelajar RUMC dirumus secara bersepadu dan mengambil kira keperluan kewangan, di mana kami berharap untuk mencapai bilangan pelajar yang lebih besar.

“Kami beraspirasi untuk menambah nilai kepada pembangunan industri pendidikan negara dengan menawarkan produk inovatif yang membawa nilai kepada pelanggan dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Whitford berkata, skim itu ini menawarkan pilihan kepada pelajar untuk membiayai pengajian dan membolehkan ahli keluarga atau penjaga untuk menyokong keperluan pendidikan pelajar, sama ada untuk sebahagian atau kos penuh sesuatu program.

“Kami ingin memastikan lebih ramai pelajar berpeluang untuk mendapat peluang pendidikan kelas pertama dan diiktiraf dengan baik, sepanjang pengajian perubatan mereka di Ireland dan juga Pulau Pinang di RUMC,” katanya.

Produk AFFIN Pembiayaan Pendidikan-i yang dilancarkan secara rasminya pada bulan Februari 2017, adalah produk patuh Syariah yang direka untuk membantu pelan pendidikan pelajar di 53 panel universiti dan kolej di seluruh Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *